logo klinik rundingcara fsu

  LATAR BELAKANG

Klinik Rundingcara Syariah & Undang-undang (KRC), Fakulti Syariah dan Undang-undang, UIS ini beroperasi secara rasminya pada 02hb Mei 2017, bagi memberi peluang kepada orang ramai yang mempunyai sebarang permasalahan berkenaan isu-isu kekeluargaan Islam mendapatkan khidmat nasihat guaman syarie secara percuma. Penubuhan KRC adalah hasil kerjasama MOU melibatkan Fakulti Syariah & Undang-undang UIS dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Pihak PGSM akan menghantar wakil Peguam Syarie mereka bagi memberi khidmat nasihat guaman syarie secara percuma di Klinik Rundingcara Syariah dan Undang-undang ini. Orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat guaman syarie secara percuma pada setiap hari Jumaat minggu pertama dan ketiga secara walk in atau temujanji.

  PERKHIDMATAN DISEDIAKAN

Antara kes-kes yang dikendalikan di Klinik Guaman syarie ini seperti ; pendaftaran pernikahan, wali hakim, poligami, perceraian, tuntutan mutaah, nafkah iddah, hak jagaan anak, nafkah anak, harta sepencarian dan harta pusaka (faraid) yang mana kesemua kes-kes ini melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

  MATLAMAT PENUBUHAN

Tujuan dan matlamat penubuhan KRC ini secara jelasnya bagi membantu orang ramai yang mempunyai masalah guaman syarie bertemu dengan Peguam Syarie secara mudah tanpa perlu ke mahkamah atau menetapkan temujanji terlebih dahulu. Ramai di kalangan masyarakat merasa berat dan takut untuk bertemu dengan Peguam Syarie kerana khuatir dikenakan kos dan yuran perkhidmatan yang tinggi. Oleh yang demikian, dengan adanya Klinik Guaman Syarie ini, sedikit sebanyak dapat membantu orang ramai mendapatkan nasihat guaman syarie melalui saluran yang tepat secara percuma seterusnya dapat mencari jalan dalam merungkaikan kes atau permasalahan mereka di mahkamah.

  KEBERKESANAN PENUBUHAN

KRC menerima dalam lingkungan dua ke lapan orang prospek kelayan dalam sebulan. Walaupun kedudukan KRC berada di Bandar Seri Putra, Bangi namun ada di antara prospek kelayan KRC yang hadir dari luar kawasan Negeri Selangor seperti Negeri Sembilan dan Melaka. Perkara ini menunjukkan bahawa masyarakat semakin sedar bahawa nasihat guaman amat penting bagi seseorang mendapatkan maklumat yang betul berkenaan permasalahan undang-undang yang mereka hadapi sebelum mengambil sesuatu tindakan. Sekiranya masalah undang-undang tersebut tidak diselesaikan dengan betul maka ianya akan menambahkan konflik yang lebih serius sehingga memungkinkan memakan masa yang lama untuk penyelesaian kes di mahkamah.